Assalamualaikum

Photobucket

ala bizikrillaahi totmainnul qulub...

Photobucket

Selasa, 28 Disember 2010

BICARA BUAT SAHABAT DAN SAHABIAH

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Terima kasih sahabatku untuk segalanya. Memang benar kata hatiku, kau hanya tetamu hatiku yang datang dan pergi begitu sahaja.
Maaf andai kata aku tersilap mencongak pada nilai kejujuran dan berterus terang. Sesungguhnya kau lah sahabat yang menunjuk jalan padaku tanpa sedarmu. Duhai sahabatku, dunia kita memang berbeza tetapi hidup kita seakan sama.
Kita mencintai ilmu dan itulah yang mendekatkan hatiku padamu. Aku dambakan perubahan positif dalam diri ini dan kita seiring sejalan mula berubah menjadi lebih baik. Perubahan inilah yang dituntut kerana tiada manusia yang sempurna hidupnya. Kehidupan sederhana dan dilingkumi ukhuwah yang terbina menjadikan hidup sangat bermakna.

Rabu, 22 Disember 2010

JIKA MILIK ALLAH SEGALANYA...APA SEBENARNYA YANG KITA ADA ?

Suatu hari sang guru bertanya kepada murid-muridnya.
Siapa yang jadikan mata kita?
Mereka menjawab : Allah
Lalu sang guru katakan : Lalu apakah yang telah kita perbuat dengan dua biji mata ini ? Adakah sebagai alat untuk melihat perkara yang baik ataupun perkara yang jahat ?
Mereka : (terdiam)
Sang guru tambahi lagi : Apa yang akan jadi sekiranya penglihatan ini diambil oleh-Nya? Selama ini Allah memberi nikmat mata untuk melihat pemandangan yang cantik dan indah. Alam ini dilimpahi dengan pelbagai warna yang menarik hati serta pelbagai hidupan yang menghiasinya.

Mari Aku Khabarkan Tentang Cinta

Aku khabarkan tentang cinta kepada kalian dan juga untuk tatapan diriku. Cinta yang memang tidak pernah putus-putus. Lantas kebahagian, cinta diraih lalu impian disulam bersemadi. Tidak akan terputus dari susunan  kata yang terungkap indah lalu diikat rapi dengan terbuktinya melalui perlakuan sang pencinta itu sendiri.
Keunikan Cinta.
Dengan cinta, suka boleh menjadi duka. Cinta juga, cuka boleh menjadi madu yang manis. Dengan cinta, impian bersama cuba digapai. Keburukan ternyata dilihat menjadi  amat menawan. Segala yang terungkap pada setiap kata-kata yang manis. Lalu kita membicarakan tentang cinta. Di sini, didefinisikan makna cinta dan dikatakan setiap helaian kamus anda akan menjumpai makna disebaliknya. Setiap jarak dari jasadmu kau akan jumpa pengertiannya. Bila kita berbicara tentang cinta seolah-olah kita arif bagai kita yang mencipta segala cinta yang tercipta. Diungkapkan madah-madah cinta seperti kita sang pujangga  yang hebat?

Selasa, 21 Disember 2010

Amalan soleh sumber kekuatan peribadi.

DUNIA tanpa sempadan membenarkan kita menembusi setiap ceruk kehidupan manusia tanpa dapat dikawal undang-undang. Hanya peribadi salih boleh menghalang perbuatan maksiat kepada Allah seperti tidak amanah, tidak bertanggungjawab ataupun tidak menghormati hak orang lain.
Pembentukan dan pengembangan peribadi Muslim yang dikehendaki Allah dan disebut dalam al-Quran ialah sahsiah salih dari segi tutur kata dan perbuatan. Al-Quran menggariskan prinsip sama sejak mula diikuti oleh umat Islam.
Umat Islam perlu membina peribadi teguh dalam dunia tanpa sempadan ini. Jika tidak, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan kepemimpinan. Ada bimbingan yang kita harapkan daripada orang yang arif dalam apa juga bidang.

Isnin, 6 Disember 2010

          Hijrah berasal daripada kalimah Arab yang memberi makna berpindah dari satu daerah ke satu daerah lain. Hijrah boleh ditafsirkan sebagai satu perubahan lokasi secara zahir dari titik A menuju ke titik B. ia juga boleh menjelaskan perpindahan bersifat kejiwaan, rohani atau apa-apa jua situasi yang lebih abstrak daripada itu. Apa yang penting, unsur yang perlu ada dalam amalan berhijrah ialah berlakunya perubahan kedudukan berbanding dengan tempat atau keadaannya yang asal sama ada secara ruhi ataupun jasadi. Bagi masyarakat kita, perkataan hijrah telah sebati dan diterima pakai dengan pengertian yang mendalam oleh segenap lapisan masyarakat.

Ahad, 5 Disember 2010


Cinta…

Apabila cinta berkata-kata
Indah terasa bagai di syurga
Apabila cinta bernyanyi merdu
Terasa manis bagaikan madu.
Tika cinta bersuara lunak
Yang pahit merasa enak.

Cinta
Bila cinta terbit di hati
Terasa diri tidakkan mati
Bila pemilik cinta  salah
Bagi nafsu tiada masalah

Cinta bermakna
Cinta ilahi yang sempurna
Lahir dari hati yang suci
Cinta menyintai
Fitrah insani
Cinta ada perbatasan

Cinta Adam dan Hawa
Pasangan tauladan pasti di bawa
Cinta Zulaikha dengan Yusuf
Penuh hikmah yang menyeluruh

Jika cinta ada dusta
Pasti hati bertaut duka
Jika cinta ada jujur
Pasti  pemilik bersifat luhur
Cintailah pada pencipta
Pastikan cinta yang Esa
Sesungguhnya itulah cinta mulia…
Yang sebenar-benar cinta.

Khamis, 18 November 2010

Tuhanku!
Dalam kurenungi alam
aku tidak bebas dari kesalahan
oleh nafsu dorongan kejahatan
kecuali ia yg Kau rahmatkan..
Di manakah jalan lurus pertolongan
buatku bersegera kepada ampunan
aku akan lalui malam ke siang.

Tuhanku!
Dalam aku berbuat kebajikan
apakah makna waktu lapang atau sempit
ketika harta dan ringgit cuma sedikit
sebagai manusia amarahnya membukit
bersilih jari silap salahnya terungkit
dosa sewaktu berlaku keji...
akulah yang menganiaya diri
alpa akan perintahMu ya Ilahi
tetapi aku tiada siapa lagi...

Bagaimanakah akan ku ketahui
sesudah memohon,dan Kau ampuni
Kau redhakan aku secangkir susu
dari sungai-sungai syurgaMu
yang tidak mengalir lesu...

(Ehsan puisi Dato' A.Aziz Deraman)

Ahad, 14 November 2010

artikal

Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya,
dan menurut ibu tiang serinya adalah agama’

Petikan dari novel Tuhan Manusia karya Faisal Tehrani.

Umat Islam hari ini tidak sekadar berdepan dengan permasalahan islamofobia dari kalangan bukan Islam, tetapi lebih dari itu. Kita hari ini juga berdepan dengan aliran fahaman sesat seperti Islam Liberal, pluralisme, feminisme dan NII KW9 ( Maahad az-Zaytun) yang juga dikenali sebagai Gerakan Pemuda Kahfi / Ajaran MLM / Daulah Islamiah Nusantara (DIN).

Apakah diabolisme intelektual? Diablo di dalam bahasa latin bermaksud iblis. Maka diabolisme intelektual bermaksud fahaman keiblisan memesongkan akidah secara halus dan tersusun.

Desa

Desa
Di desa ini aku menjadi dewasa
dengan tenang arus dari lata
di desa ini aku menjadi dewasa
dengan kenyit matahari berbisa
dengan harum mawar dari rimba
dengan gemersik alun warga
dengan budaya pelbagai citra.
Di desa ini - memang
aku terus kekal dewasa
sampai bila-bila
selama-lamanya.

sepi seorang pemuisi

Tika ku kesepian
ku coretkankan ilham di warkah,
bisikan jiwa meluahkan rasa,
dengan pena bermain kata bicara,

coretan seorang pujangga setia,
meluahkan segala rasa di dada,
melaungkan yang terbuku di kepala,
pada fajar nan senja,

tika diri kesepian,
menghayati ciptaan tuhan,
menatap seluruh isi alam,
dengan mentadabburi al-quran,
mencari kebenaran,
dengan memutala'ahkan hadis,
mencari kesempurnaan,

pabila diri dalam kegelapan,
perjalanan merangkak dalam kesempitan...
harungi jalan di hadapan

Selasa, 2 November 2010

Kasih Seorang Ayah


Beratnya untuk melepaskan dia pergi. Selama ini, tangan ini yang membelainya. Selama ini, hati ini yang selalu bimbangkannya.
Sejak suara tangisnya yang pertama, sejak ku laungkan azan di telinganya, aku begitu mengasihinya. Ya, dia adalah permata hatiku. Namun, dia bukan selamanya milikku....
Rumah ini, cuma persinggahan dalam perjalanannya menuju kedewasaan. Dan kini sudah hampir masanya kau pamit. Walaupun di hatiku tercalar sedikit rasa pahit, tapi siapalah aku yang boleh menahan perjalanan waktu? Siapakah aku untuk menahan realiti kedewasaan? Maafkan aku wahai anak....
Bukan aku tidak tega, tetapi kerana terlalu cinta!

Isnin, 1 November 2010

hari-hariku...

Hari ini,
Aku merasakan semangatku hilang,
hari-hariku penuh kegelapan dalam fikiran.
jadi tidak menentu...

Sabtu, 30 Oktober 2010

Betapa Beratnya menjadi seorang lelaki


Betapa beratnya menjadi seorang lelaki, di antaranya adalah seperti berikut:-
Lelaki
1. lelaki bujang kena tanggung dosa sendiri apabila sudah baligh manakala dosa gadis bujang ditanggung oleh bapanya.
2. lelaki berkahwin kena tanggung dosa sendiri, dosa isteri, dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan dosa anak lelaki yang belum baligh. BERATKAN !
3. Hukum menjelaskan anak lelaki kena bertanggungjawab ke atas ibunya dan sekiranya dia tidak menjalankan tanggungjawabnya maka dosa baginya terutama anak lelaki yang tua, manakala perempuan tidak, perempuan hanya perlu taat kepada suaminya. Isteri berbuat baik pahala dapat kepadanya kalau buat tak baik dosanya ditanggung oleh suaminya. BERATKAN !
4. Suami kena bagi nafkah pada isteri, ini wajib tapi isteri tidak. Walaupun begitu isteri boleh membantu. Haram bagi suami bertanya pendapatan isteri lebih-lebih lagi menggunakan
pendapatan isteri tanpa izinnya.
Banyak lagi lelaki lebih-lebih lagi yang bergelar suami perlu tanggung. Kalau nak dibayangkan beratnya dosa-dosa yang ditanggungnya seperti gunung dengan semut. Itu sebabnya mengikut kajian nyawa orang perempuan lebih panjang daripada lelaki. Lelaki mati cepat kerana tak larat dengan beratnya dosa-dosa yang ditanggung. Tetapi orang lelaki ada keistimewaannya yang dianugerah oleh Allah SWT. Ini orang lelaki kena tahu, kalau tak tahu kena jadi perempuan.
Begitulah kira-kiranya.

Khamis, 28 Oktober 2010

SILIH GANTI RASA INI

SILIH GANTI RASA INI…
Tuhan…
Dalam letih aku merintih
Kelemahan dan kelalaianku
Alpa dan dosaku
Aku lemah tak berdaya
Tuhan…
Dalam suka dan duka
Tangis dan tawa melimpah rahmat dan nikmat-MU

BANGKIT DARIPADA GELITA



Bangkit daripada gelita
Tersedar aku daripada kegelapan,
Terlerai belenggu yang mengikat,
Tersingkap segala hijab yang gelap,
Lalu ku lihat alam dari mata hatiku
Jalan yang jitu bukan yang palsu,
            Oh…inilah cahaya dalam diri,

Rabu, 27 Oktober 2010

hidayah


HIDAYAH

"Oit Ady...pekak ker...apsal ko 'goreng' semacam jer...tunggu la kitorang!"
"Oi, Ady...dengar ke idak?!"

"La...ko Otai...iskh...ye..ye...!!! Apo ko cakap tadi..?!"

"Apo ko nih Ady ,aku cakap ko dengar ke idak?!!"

Entah apa yang menerawang di fikiran aku...sampaikan si Otai cakap dengan aku pun aku boleh buat tidak dengar...

"Sorry la..brader..aku tak dengar tadi..."

"Itu la..ko main 'tibai' jer..macam nih biler nak abis...competition tuh tak lama agie tau? Kalo ko tak nak main, aku leh carik ramai lagik tau gitarist lain...paham!!"

Fuh...marah sungguh si Otai kali ini.Memang lah siapa tidak geram, dapat member macam aku ini bermasalah luar dan dalam,yang si Otai ini pun satu bukannya nak tanyakan apa masalah aku,ditengking-tengkingnya pula. Inikah namanya kawan?

"Aku balik dulu la...ko carik la...member baru...aku nih nyusahkan korang jer...!!!"

"Ok, fine!! Elok sangatlah...buang masa jer aku invite ko join kitorang....tak sangka jadik gini...!!!"

Aku tidak berlengah lagi.Life Studio kutinggalkan dengan berbekalkan gitar elektrik pemberian Izan. aku melangkah pulang dengan hati yang panas..cukup panas. Marah betul aku.Cuma aku malas nak bertekak dengan Otai dan gengnya.Malas!!

Allah..serabutnya kepala otakku ini.Apa yang perlu kubuat? Dulu-dulu aku selalu ingat muzik adalah segala-galanya. Muzik adalah hidup aku,kerana muzik menyemarakkan kembali hidup aku,tapi sekarang kerana muzik jualah perasaan aku tidak tenteram langsung. Macam mana ini?

Aku semakin kehilangan arah. Jam di tangan pukul 12:30 pagi,mahu balik ke rumah sewa atau terus sahaja lepak di sini? Duduk di bawah sinaran lampu neon jalan raya sejuk pula rasanya...ah...lebih baik aku pulang sahaja.

Gelap sahaja rumah. Agaknya semua house mate aku sudah tidur. Lantaklah. Bagus juga, selalunya waktu begini mereka akan pasang vcd hindustan. Ah! Lagi pening aku.

Aku melangkah malas menuju ke arah bilik. Cerah lagi,agaknya Hilman masih belum tidur. Mesti tengah study.

Pintu kubuka. Kulihat Hilman tengah tekun membaca. Dia mendongak ke arahku,sambil tersenyum dia seraya berkata,

"Oh....Ady..balik dah pun...camana ngan latihan hari nih?"

Aku tersenyum pahit. Entah kenapa melihatkan senyuman Hilman, tenang sikit hati ini.

"Hmm...entah!!" Jawabku malas.

Lantas aku baring atas katil tidak jauh dari meja Hilman. Gitar aku letakkan di sebelah.
Hilman berpaling memandang aku. Entah apa agaknya difikirkan,kemudian dia terangguk-angguk sendiri.

pelangi kasih


Suasana petang masih membahang oleh bingkisan sisa mentari tengah hari yang belum menguntum sepenuhnya. Namun ada jiwa yang lebih membahang. Kepanasan yang berolak dari dalam diri, meletus keluar bersama dengus kecil dari sebuah hati yang tidak pernah nampak oleh mata kasar.

“Huh! Tak perlu! Hana boleh bawa sendiri!”

“Hana… Kenapa marah sangat dengan Wan ni?”

Hana mempercepatkan jalannya. Dan Hana masih membisu. Dengan wajah yang semacam menahan kemarahan yang membara!

Dalam hati gadis manis itu sebenarnya tertanam rasa kepiluan yang teramat sangat. Pantas dia menyembunyikannya dengan amarah. Kenapalah Fazwan tidak pernah mahu mengerti berontak jiwanya. Mengapa dia tidak menghalang Hana pergi? Bahkan seolah-olah dia senang sekali dengan pemergian Hana itu.

“Huh...! Wan memang suka Hana pergi kan? Taklah Hana mengganggu Wan lagi kan?” Hana berkata dengan nada perlahan namun agak keras intonasinya.

Contoh tauladan


Adik dan Palestin
Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi. Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru.
Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham…. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga,lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik. Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar.
Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk di penjuru masjid,kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud,adik sujud.
Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan. Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi. Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid. Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku.
“Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!”
Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama walid berkali-kali.
Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk di penjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah. Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk.
“Adik nak ikut walid” Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.
Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu. Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya. Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek. Sedang adik seronok bermain, abang rampas ‘bola’ adik. Adik masam. Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik. Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi. Merajuk.
Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menanggis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menunggu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang,cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik. Abang dukung adik,usap kepala adik. “Adik jaga ummi ya” pesan abang.